Skip to main content

Kerja Kursus Semantik & Pragmatik (Analisa Aspek-aspek Semantik Deiksis dan Kolokasi dalam Cerpen)


Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL)
TIX2002 : Semantik & Pragmatik
Semantics & Pragmatics
Sesi 2017 / 2018
Semester 4

Tajuk Kerja Kursus
Analisa Aspek-aspek Semantik Deiksis dan Kolokasi dalam Cerpen ‘Arnab yang Pemalas’.
Nama Ahli Kumpulan
Aisyah Binti Mahathir (TIG1600XX)
Nur Asilah Binti Adenan (TIG1600XX)
Siti Fatimah Binti Masran (TIG1600XX)
Thanushah A/P P Soniyasee (TIG1600XX)
Nombor Kumpulan Kelas
Kumpulan 4
Nama Pensyarah
Puan Siti Nurbaya Binti Mohd Nor
Tarikh Dihantar
4 /  4 / 2018

Isi Kandungan

Bilangan
Tajuk
Nama Ahli
Muka Surat
1.
Pengenalan
Fatimah
1
2.
Objektif
Semua Ahli Kumpulan
2
3.
Deskripsi Data
Thanushah
3
4.
Kerangka Teori
Aisyah & Asilah
4 - 6
5.
Analisa dan Perbincangan
1.      Deiksis
2.      Kolokasi

Thanushah & Asilah
Fatimah & Aisyah

7 - 10
6.
Penutup
Thanushah
11
7.
Rujukan
Semua Ahli Kumpulan
12
8.
Lampiran
Semua Ahli Kumpulan
13

1.0 Pengenalan

      Semantik adalah salah satu cabang dalam bidang linguistik yang mengkaji bahasa secara saintifik daripada segi makna. Perkataan ‘semantik’ menurut Ullman (1966) berasal daripada perkataan Yunani yang membawa maksud “menandai atau melambangkan”. Semantik memainkan peranan yang penting dalam memahami sesuatu makna perkataan atau frasa sesuatu bahasa.     
      Cerpen menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat (1970), merupakan singkatan untuk “cerita pendek”. Cerpen kebiasaannya mempunyai plot dan tema yang ringkas, diiringi dengan jumlah watak yang sedikit. Cerpen sering ditulis untuk menyampaikan pengajaran kepada pembaca. Antara ciri-ciri semantik yang boleh didapati daripada cerpen ialah deiksis dan kolokasi.
      Perkataan deiksis berasal daripada bahasa Yunani yang membawa maksud “menunjuk” atau “menunjukkan”. Menurut Nurul Shahida Jamil dan Maslida Yusof (2015), deiksis merupakan satu konstituen penting yang secara dasarnya terdiri daripada deiksis peserta, ruang, masa, sosial dan wacana. Kolokasi pula bermaksud keadaan di mana dua atau lebih kata dianggap sebagai satu leksikal yang tersendiri, tetapi lazimnya dikaitkan antara satu sama lain dalam sesuatu bahasa. Menurut Bader.S, Mariam (2011), kolokasi pada asasnya memberi maksud sesuatu hubungan kata antara leksikal yang bergabung dengan satu leksikal lain bagi membentuk unit semantik.
      Tujuan kajian ini dilaksanakan ialah untuk, mengenalpasti aspek-aspek semantik deiksis dan kolokasi, bagi memahami dengan lebih teliti penggunaan deiksis dan kolokasi dalam cerpen ini.

2.0 Objektif Kajian

1.   Mengenalpasti aspek semantik deiksis dan kolokasi yang terdapat dalam cerpen “Arnab yang Pemalas”. 
2. Menganalisis aspek semantik deiksis dan kolokasi yang terdapat dalam cerpen tersebut.

3.0 Deskripsi Data

      Kumpulan pengkaji telah memilih sebuah cerpen  yang diambil dari Internet, bertajuk ‘Arnab yang Pemalas’ yang dikarang oleh seorang guru Sekolah Rendah bernama Azman Hashim. Cerpen ini ditulis oleh beliau di Blogspot miliknya pada 8 December 2011. Kumpulan pengkaji telah memilih cerpen ini kerana terdapat banyak ciri-ciri semantik deiksis dan kolokasi di dalamnya untuk dikaji.
      Arnab dan tupai merupakan watak utama dalam cerpen ini, maka dapatlah kita simpulkan bahawa ianya satu cerpen yang dihasilkan dengan menggunakan watak-watak binatang. Cerpen ini mengisahkan sebuah  persahabatan yang terjalin diantara seekor arnab dan seekor tupai. Arnab dalam cerpen ini disifatkan sebagai binatang yang pemalas dan tidak bimbang akan masa depan kehidupannya, manakala tupai pula merupakan binatang yang mengambil peduli akan keselamatan dan keselesaan hidupnya. Arnab selalu mengabaikan nasihat Si Tupai namun Si Tupai masih mengajak Si Arnab untuk membina sarang kerana akan tiba musim hujan tidak lama lagi.

4.0 Kerangka Teori
4.1 Aspek Deiksis      

      Deiksis merupakan sekumpulan kecil perkataan yang mengubah makna secara sistematik mengikut siapa, bila dan dimana. Menurut Heppy Leo Mustika (2012), perkataan deiksis berasal dari bahasa Yunani kuno iaitu tunjuk “deik” dan menunjukkan “deiknumi”. Ungkapan dikenali sebagai deiktik (deictic) manakala fenomenanya dikenali sebagai deiksis (deixis). Deiksis menjadi bentuk teknikal yang paling asas yang diterapkan di dalam ujaran dan ianya boleh mengakibatkan masalah kekaburan, kesalahfahaman menerima maklumat dan komunikasi yang tidak berkesan jika diabaikan.

a. Deiksis Peserta

      Deiksis peserta terdiri daripada penggunaan kata ganti nama diri iaitu, kata ganti nama diri pertama iaitu, ‘saya’ dan ‘aku’ manakala jamaknya ialah ‘kita’ dan ‘kami’. Sebagai contoh, Azman memberitahu Azmin, “Saya akan pergi bercuti ke Australia.”
      Kata ganti nama diri kedua ialah, ‘awak’, ‘kamu’ dan ‘engkau’ manakala jamaknya ialah ‘awak semua’ dan ‘kamu semua’. Contohnya, “Awak kelihatan cantik hari ini”, kata Azri kepada isterinya Aminah.
      Kata ganti nama diri ketiga ialah, pertuturan bukan penutur atau pendengar yang merujuk kepada kata tunggal ‘ia’ dan ‘dia’ manakala jamaknya ialah ‘mereka. Contohnya, “Ali ingin berjumpa dengan awak sebelum “dia“ berpindah ke London,” kata Mariam kepada Hasyim.

b. Deiksis Tempat / Ruang

      Menurut Saeed (1997), deiksis tempat atau ruang merujuk kepada dimana ujaran tersebut dilahirkan dan bergantung kepada kedudukan penutur. Dalam bahasa Melayu terdapat adverba tempat atau ungkapan lokasi iaitu ‘sini’ menunjukkan kawasan yang agak dekat dengan penutur dan ‘sana’ ialah kawasan yang agak jauh dari penutur serta bagi petunjuk spesifik ialah ‘itu’ dan ‘ini’.
      Deiksis tempat juga merujuk kepada pergerakan seseorang dari satu tempat ke satu tempat dan pergerakan ke arah atau menjauhi penutur. Contoh-contoh menunjukkan kedudukan penutur adalah, “Mari ke sini sahaja” dan “Jangan terus pergi ke sana”. Manakala bagi contoh pergerakan dari satu tempat ke satu tempat ialah, “Hujan mula lebat di sini, mari kita berteduh di rumah banglo di sana”.

c. Deiksis Masa / Temporal

      Deiksis masa / temporal ialah peristiwa bahasa yang berfungsi untuk menentukan jarak waktu atau tanda dengan menggunakan waktu ujaran dibuat sebagai tanda rujukan. Terdapat tiga pembahagian dalam masa iaitu sebelum waktu ujaran (esok), pada masa ujaran dibuat (sekarang) dan selepas ujaran dibuat (semalam).
      Contoh bagi sebelum waktu ujaran ialah, “Esok saya akan pergi ke sekolah,” kata Wani kepada Aizat pada 5 Januari 2018. Seterusnya, bagi pada masa ujaran dibuat iaitu, “Tolong tutup pintu itu sekarang!”. Contoh bagi selepas ujaran dibuat ialah, “Semalam Adam mencari kamu di sekolah” kata Izzah kepada Ahmad pada 7 Februari 2018.

d. Deiksis Sosial

      Deiksis sosial menunjukkan status identiti sosial dan hubungan diantara penutur dengan pendengar. Ia juga berdasarkan tingkat sosial di antara penutur dan pendengar sama ada secara formal atau tidak formal. Dalam Bahasa Melayu terdapat kata ganti nama sopan dan biasa iaitu, ‘saya’ atau ‘aku’ dan ‘awak’ atau ‘kau’. Bukan itu sahaja, bahasa istana yang digunakan oleh kerabat diraja Melayu juga merujuk kepada deiksis sosial. Contohnya “Beta mahu rakyat jelata hidup dalam aman damai,” kata Sultan Mansur Shah kepada Bendahara.

e. Deiksis Wacana

      Deiksis wacana ialah rujukan kepada perkara-perkara tertentu di dalam wacana dan terbahagi kepada 3 jenis iaitu, masa akan datang dan kemudian (katafora), telah berlaku dan telah disebut (anafora) dan kini. Contoh bagi katafora ialah, “Makan ubat ini dan awak akan sembuh.” Contoh bagi anafora ialah, “Pak Cik saya datang dari kampung dan membawa buah-buahan hasil tanamannya.” Perkataan ‘nya’ menunjukkan ‘Pak Cik’ yang sudah disebut pada awal ujaran. Contoh bagi wacana kini ialah, “Dengan ini jika sewa rumah tidak dibayar, anda akan dihalau dari sini.”

4.2 Aspek Kolokasi

      Kolokasi bermaksud hubungan antara perkataan. Menurut Cruse (1986), hubungan sintagmatik digunakan untuk merujuk urutan item leksikal yang secara lazimnya hadir bersama tetapi masih jelas dan telus dari segi setipa konstituen leksikalnya merupakan konstituen semantik. Kolokasi mempunyai sekatan pemilihan iaitu kecenderungannya dijelaskan sebagai sekatan ke atas kata kerja atau ada kalanya kata sifat.
      Kolokasi juga mempunyai julat kolokasi bagi ungkapan yang tertentu iaitu, set konteks di mana ujaran tersebut boleh hadir. Sebagai contoh, julat kolokasi untuk ujaran yang sinonim iaitu, ‘cantik’ dan ‘lawa’. Ujaran “pemandangan itu sangat cantik” adalah betul manakala ujaran “pemandangan itu sangat lawa” adalah tidak betul. Situasi ini berlaku kerana kesesuaian ujaran-ujaran tersebut adalah berbeza dalam sesuatu ayat walaupun ujaran tersebut mempunyai pertindihan erti yang sama. 

5.0 Analisa Perbincangan
5.1 Aspek Deiksis

      Kumpulan pengkaji telah mengenalpasti beberapa deiksis peserta dalam teks, “Arnab yang Pemalas“. Terdapat tiga jenis kata ganti nama yang digunakan dalam cerpen ini iaitu, kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata ganti nama diri ketiga. Contoh bagi kata ganti nama diri pertama tunggal ialah, perkataan “saya“ yang telah digunakan sebanyak tiga kali dalam cerpen ini. Perkataan “saya“ telah disebut sebanyak dua kali oleh Si Arnab dan sekali oleh Si Tupai dalam situasi yang berbeza. Contohnya, “Tapi biarlah “saya“ berehat dulu,“ jawab Arnab. Kata ganti nama diri pertama yang kedua ialah jenis jamak iaitu, perkataan “kita“. Perkataan ini telah digunakan sebanyak 11 kali dalam teks. “Kita“ dalam cerpen ini merujuk kepada Si Arnab dan Si Tupai. “Kita” dalam cerpen ini telah disebut oleh kedua-dua binatang tersebut. Cotohnya, “Jika “kita” ada sarang, tentu “kita” tak akan basah begini,” kata tupai. “Kita” dalam ayat ini merujuk kepada diri tupai itu sendiri dan kawannya Arnab.
      Kata ganti nama diri kedua yang telah digunakan dalam cerpen ialah, “awak”. Perkataan ini telah disebut sebanyak 2 kali dalam teks oleh Arnab. Contohnya, “Ya, betul kata awak,” jawab Arnab. Arnab menyebutkan ayat ini kepada Tupai bagi tujuan mengiakan kata-kata Tupai sebentar tadi.
      Yang terakhir ialah, perkataan “mereka” yang merujuk kepada watak arnab dan tupai dalam cerpen ini. “mereka” merupakan kata ganti nama diri ketiga jamak yang merujuk kepada sekumpulan orang atau sekumpulan hidupan yang berada jauh dari diri penutur. Contohnya, “Setiap hari “mereka” menghabiskan masa bersama-sama”. Penulis telah menggunakan perkataan ini bagi merujuk kepada dua watak penting dalam cerpen.
      Terdapat juga deiksis masa yang telah dikenalpasti oleh kumpulan pengkaji dalam cerpen ini. Contohnya, ujaran “sekarang” adalah merujuk kepada waktu yang sama semasa ujaran dituturkan oleh penutur. Selain itu, ujaran “esok pagi” adalah merujuk kepada waktu pagi hari selepas hari penutur mengujarkan ujaran tersebut manakala ujaran “esok” merujuk kepada hari selepas hari penutur mengujarkan ujaran tersebut tanpa mengetahui waktunya secara khusus iaitu samada pagi, petang atau malam. Ujaran “ini” pula merujuk kepada waktu hujan iaitu sewaktu ujaran ini diujarkan oleh penutur.
      Akhir sekali, kumpulan pengkaji juga telah menganalisis deiksis wacana dalam teks. Contohnya, ujaran “itu” yang pertama adalah merujuk kepada sahabat tupai iaitu si arnab yang pemalas manakala ujaran “itu” yang kedua merujuk kepada waktu petang. Tambahan pula, ujaran “itu” yang ketiga juga merujuk kepada sahabat tupai tersebut iaitu si arnab yang pemalas.

5.2 Aspek Kolokasi
5.2.1 Kolokasi Istimewa (Penjodoh Bilangan)

      Secara ringkasnya, kolokasi ialah hubungan antara perkataan dan mengikut urutan leksikal serta melihat perkataan yang hadir selepas perkataan itu untuk membawa maksud yang sebenar. Jenis kolokasi yang terdapat dalam cerpen “Arnab yang Pemalas” ialah, kolokasi istimewa bagi penjodoh bilangan. Contoh-contohnya adalah, ‘sebuah hutan’ yang merujuk kepada tempat dimana satu hutan yang didiami oleh tupai dan arnab tersebut. Contoh yang kedua ialah, ‘sepasang sahabat’ yang merujuk kepada hubungan persahabatan yang erat di antara kedua-dua watak haiwan dalam cerpen tersebut, iaitu tupai dan arnab. Dan contoh bagi ‘seekor arnab’ dan ‘seekor tupai’ merujuk kepada penjodoh bilangan yang dikhaskan untuk haiwan dan ia menunjukkan hanya satu sahaja haiwan dari jenis yang berbeza di dalam watak cerpen tersebut iaitu tupai dan arnab.
      Selain itu, perkataan ‘basah kuyup’ menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sangat basah. Perkataan tersebut boleh diramalkan kerana mempunyai hubungan antara perkataan dan ia saling bergantung antara satu sama lain. Manakala dalam konteks cerpen tersebut, ‘basah kuyup’ menunjukkan keadaan arnab dan tupai yang dalam keadaan sangat basah kerana hujan dan tiada tempat untuk berteduh.

5.2.2 Kolokasi Biasa

      Terdapat beberapa ciri-ciri semantik kolokasi biasa yang digunakan dalam cerpen “Arnab yang Pemalas”. Perkataan “menghabiskan masa”, “musim hujan”, “tempat berteduh”, “berteduh di bawah pokok”, “membuat sarang” dan “melihat sikap sahabatnya itu”  adalah perkataan-perkataan yang menunjukkan sifat-sifat kolokasi biasa. Perkataan “menghabiskan masa” dan “membuat sarang” merupakan satu leksikal yang membawa makna. Perkataan “menghabiskan” dan “membuat” adalah kata kerja dan digabungkan dengan perkataan “masa” dan “sarang” yang merupakan kata nama. Apabila perkataan-perkataan ini bergabung iaitu “menghabiskan masa” dan “membuat sarang” ia membawa makna yang mudah difahami konteksnya. Pemilihan sekatan bagi masa sering digunakan bersama perkataan menghabiskan, tetapi bukan menggunakan perkataan menamatkan atau mencukupkan. Manakala perkataan sarang dikaitkan dengan perkataan membuat, bukan mencipta atau melakukan.
      Perkataan “tempat  berteduh” dan “berteduh di bawah pokok” merujuk kepada pengunaan kata kerja dan kata nama atau kata tempat. Perkataan kata kerja “berteduh” sering digunakan bersama dengan perkataan yang merujuk kepada tempat seperti perkataan “berteduh di bawah pokok” yang menunjukkan perkataan tempat iaitu di bawah pokok manakala “tempat berteduh” merujuk kepada sesuatu tempat untuk berteduh. Selain itu, perkataan “melihat sikap sahabatnya itu” merujuk kepada penggunaan kata kerja “melihat” dan perkataan “sikap sahabatnya itu”. Perkataan “melihat” digunakan untuk merujuk kepada sesuatu perkara, bukannya menggnakan perkataan yang sinonim dengan melihat seperti menengok atau memandang. Maka, ia boleh dikatakan bahawa perkataan kata kerja yang tertentu boleh dikaitkan dengan beberapa perkataan tertentu untuk membawa ciri-ciri kolokasi.
      Akhir sekali, perkataan “musim hujan” merupakan salah satu kolokasi biasa. Perkataan musim tidak boleh berdiri dengan sendirinya, sebaliknya ia perlu mempunyai perkataan lain bersama untuk membawa sesuatu makna. Perkataan “musim hujan” mempunyai dua perkataan yang berbeza tetapi membawa makna yang tersendiri iaitu waktu di mana hujan sering berlaku. Kesimpulannya, kolokasi biasa merupakan ciri semantik yang memberi makna dengan menggunakan hubungan antara perkataan.

6.0 Penutup

      Kumpulan pengkaji telah mengenalpasti dan menganalisis kesemua aspek-aspek semantik deiksis dan kolokasi yang terdapat dalam cerpen “Arnab yang Pemalas“. Terdapat banyak perkataan di dalam teks yang mengandungi kedua-dua aspek semantik tersebut.
      Aspek-aspek semantik deiksis dan kolokasi didapati memainkan peranan yang penting dalam memudahkan pembaca untuk memahami cerpen ini kerana, sesuatu perkataan berkait rapat dengan perkataan yang hadir bersebelahan dengannya dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada pembaca.
      Maka, dapatlah kumpulan pengkaji menyimpulkan bahawa, aspek deiksis dan kolokasi itu penting untuk sesebuah karya tidak kira dalam bentuk verbal ataupun bukan verbal.

7.0 Senarai Rujukan

Bader S. Dweit & Mariam M. Abu Shakra (2011). Problems in Translating Collocations in           Religious Texts from Arabic into English. The Linguistic Journal. Volume 5 Issue 1 June 2011
Cruse, D. 1986. Lexical Semantics. Cambridge: Cambridge University Press.
http://azman-hashim.blogspot.my/2011/12/koleksi-cerita-pendek.html  (Cerpen Arnab yang           Pemalas)
Jamil, N. S., & Yusof, M. (2015). Analisis Deiksis Dialek Kedah. GEMA Online Journal of           Language Studies, 15 (1) (Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Dewan dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Jamil, N. S., & Yusof, M. (2015). Analisis Deiksis Dialek Kedah. GEMA Online Journal of           Language Studies, 15 (1) (Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Dewan dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mustika, H. L. (2012). Analisis Deiksis Persona dalam Ujaran Bahasa Rusia (Suatu Tinjauan       Pragmatik). Students e-Journal, 1(1), 10.
S. Nathesan. (2000). Jurnal Teori Semantik dan Kajian Kepustakaan Terhadap Semantik   Leksikal, H.2

8.0 Lampiran
Teks cerpen yang dikaji oleh kumpulan pengkaji : Arnab yang Pemalas



Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan FACEBOOK Masakini (Contoh Esei)

PENDAHULUAN Peranan media massa dan komunikasi dalam membangunkan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Ia boleh dilihat sejak era sebelum kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa dan komunikasi membangkitkan semangat menentang penjajah. Bermula dari era tersebut media massa dan komunikasi memainkan peranannya yang terbaik dalam membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur. Dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan Wawasan 2020. Media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wuj

Contoh Kerja Kursus Pengajian Am Tingkatan 6 Penggal 2 2015 (STPM) (Majlis Perkahwinan Masyarakat India)

1. ABSTRAK Adat Resam Dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat Kaum India Di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.       Kajian ini dijalankan dibawah tajuk, “Adat Resam dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat India” di Taman Kelubi Damai. Kajian ini mengemukakan dua objektif. Objektif pertama kajian ialah untuk mengenalpasti jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India. Objektif yang kedua pula, mengenalpasti kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai. Kawasan kajian ini terletak kira-kira 4 km dari Bandar Jasin dan 28 km dari Bandaraya Melaka. Kajian yang digunakan ialah kajian tinjauan. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ialah soal selidik dan pemerhatian. Sampel kajian ialah seramai 25 orang responden yang tinggal di Taman Kelubi Damai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penduduk di taman tersebut masih mengamalkan adat resam dalam majlis perkahwinan India. Kajian ini merumuskan bahawa adat resam per