Skip to main content

Nota Sejarah Bab 2 Penggal 3 Tingkatan 6 ( Transformasi Masyarakat )

Penentangan Terhadap Kuasa Asing

Penentangan di Sabah

Pengenalan

Seperti Negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu, Sabah juga dijajahi oleh British melalui Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Di bawah pemerintahan kompeni, rakyat Sabah telah bangkit menentang kerana tindakan pegawai kompeni yang melanggar adat mereka. Antara penentangan yang terkenal ialah penentangan oleh Mat Salleh dan penentangan oleh Antanum.

1. Penentangan oleh Mat Salleh

Mat Salleh atau Mohammad Salleh ialah seorang pahlawan di Sabah yang bangkit menentang pemerintahan Kompeni Berpiagam Borneo Utara di Sabah. Mat Salleh dilahirkan di Inanam dan berketurunan Bajau-Suluk. Beliau berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang bernama Dayang Bandung. Beliau merupakan pembesar di hulu Sungai Sungut dan memerintah kawasannya dengan bebas.

Pada tahun 1894, Mat Salleh telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam kerana kompeni campur tangan di kawasannya. Kompeni telah menyerang dan membakar kampung Mat Salleh di Sungai Sugut apabila beliau membuat aduan tentang pergaduhan di antara pegawai British dengan Iban. Kompeni juga telah membina jalan raya dari jalan keretapi merentasi kawasan Ranau yang dikuasai oleh Mat Salleh. Selain itu, kompeni juga mengenakan pelbagai cukai ke atas rakyat dan mengerah buruh paksa.

Pada tahun 1897, Mat Salleh menyerang dan memusnahkan pelabuhan kompeni di Pulau Gaya. Beliau kemudiannya membina sebuah kubu di Ranau untuk meneruskan serangannya. Kompeni membalas dengan menyerang dan memusnahkan kubu Mat Salleh di Ranau. Mat Salleh tidak dapat ditewaskan tetapi beliau terpaksa beundur ke kawasan pedalaman.
Kompeni khuatir Mat Salleh akan menyerangnya lagi. Oleh itu, Pengarah Urusan Kompeni iaitu William Cowie mengesyorkan supaya diadakan perdamaian di antara kompeni dan Mat Salleh. Satu rundingan damai telah diadakan di antara Cowie dengan Mat Salleh. Menurut rundingan damai ini:

a. Mat Salleh dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas.
b. Kompeni berjanji memberi pengampunan kepada pengikut Mat Salleh

Kompeni telah memungkiri janjinya. Pada tahun 1897, Kompeni telah membuat keputusan untuk mengambilalih kawasan Tambunan. Mat Salleh sangat marah dan membina sebuah kubu di Tambunan untuk mempertahankan diri. Pada tahun 1900, pasukan kompeni telah menyerang kubu Mat Salleh di Tambunan. Mat Salleh terbunuh dalam serangan tersebut pada bulan Februari 1900.

2. Penentangan oleh Antanum

Pada tahun 1915, seorang Murut dari kawasan pedalaman Sabah telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Orang Murut bangkit menentang kompeni kerana:

a. Mereka dilarang menebas hutan rimba untuk membuka tanah pertanian.
b. Mereka terpaksa membina jalan raya di kawasan pedalaman tanpa dibayar gaji.
c. Mereka percaya bahawa pembinaan jalan raya itu telah mengusir roh nenek moyang dan menimbulkan kemarahan yang akan mengakibatkan kemarau selama 4 tahun.

Kebangkitan orang Murut dipimpin oleh pemimpin murut yang bernama Antanum. Pemberontakan tercetus pada tahun 1915 apabila orang Murut menyerang dan membakar Pensiangan. Kemudian mereka menyerang Rundum tetapi Rundum dapat diselamatkan oleh Kompeni. Oleh itu, pemberontakan ini juga dikenali sebagai Pemberontakan Rundum.


Selepas itu, Antanum dan pengikutnya (seramai 900 orang) telah membina sebuah kubu di Sungai Selangit. Kubu itu diserang oleh askar kompeni. Antanum serta 400 orang pengikutnya telah terkorban. Pemberontakan Rundum tamat selepas kematian Antanum tetapi orang Murut di kawasan pedalaman telah berpindah ke Kalimantan kerana tidak lagi takin terhadap pemerintahan Kompeni.

Penentangan di Sarawak

Pengenalan

Sarawak di bawah pemerintahan Brooke telah berlaku banyak perubahan dari segi politik, ekonomi dan social. Perubahan ini telah menyebabkan penduduk pribumi bangun untuk menentangnya kerana perubahan ini telah melanggar adat dan kepercayaan mereka. Antaranya ialah penentangan oleh Syarif Masahor, Rentap dan Banting.

1. Penentangan oleh Syarif Masahor

Syarif Masahor dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarikei di Sungai Rajang. Beliau adalah pembesar yang sangat dihormati dan disegani oleh orang Melanau dan Iban. Walau bagaimanapun, kuasa Syarif Masahor telah tergugat apabila James Brooke mengambilalih kawasan Sungai Rajang daripada Sultan Brunei pada tahun 1853. James Brooke kemudian membina sebuah kubu di Kanowit di Sungai Rajang.

Tindakan Brooke telah mencabar kewibawaan Syarif Masahor sebagai pembesar di Sungai Rajang. Syarif Masahor telah berpakat dengan Dato’ Patinggi Abdul Gapur di Kuching untuk menyerang kubu Brooke di Kanowit dan mengusirnya keluar dari Sarawak. Tentera bersekutu Syarif Masahor dan Dato’ Patinggi Abdul Gapur telah menyerang kubu Kanowit dan membunuh 2 orang pegawai Inggeris, iaitu Charles Fox dan Henry Steel.

Pada tahun 1860, angkatan perang Syarif Masahor telah menyerang Kuching tetapi dapat dipatahkan oleh pasukan tentera Brooke di bawah pimpinan Charles Brooke. Syarif Masahor dapat menyelamatkan diri dan berlindung di Brunei. Namun James Brooke telah memaksa Sultan Brunei supaya Syarif Masahor dibuang negeri ke Singapura.

Dengan itu, Syarif Masahor dihantar ke Singapura dan meninggal dunia di situ pada tahun 1890. Dato’ Patinggi Abdul Gapur cuba menyerang Kuching dari Pontianak tetapi beliau ditahan oleh Belanda dan dipenjarakan di Betawi.

2. Penentangan oleh Rentap

Rentap ialah seorang pahlawan Iban yang bangkit menentang pemerintahan James Brooke di Sarawak. Rentap ialah ketua orang Iban yang sangat berpengaruh di hulu Sungai Sekrang. Beliau digelar “Raja Darat”. Nama sebenar beliau ialah Libau.

Rentap tidak suka kemaraan kuasa Brooke ke kawasan orang Iban. Pada tahun 1853, Rentap menyerang kubu James Brooke di Sungai Sekrang dan membunuh seorang pegawai Brooke yang bernama Alan Lee. Kemudian Rentap meminta sebuah kubu yang kuat di Bukit Sadok di hulu Sekrang. Kubu itu dilengkapkan dengan meriam besi yang besar yang telah dirampas dari Pontianak, Kalimantan. Kubu di Bukit Sadok sangat kuat sehingga serangan Charles Brooke sebanyak 2 kali pada tahun 1854 gagal menawan kubu tersebut.

Pada tahun 1861, Charles Brooke telah menyerang Bukit Sadok dengan sebuah meriam tembaga bernama Bujang Sadok yang dibuat di Kuching. Kali ini, kubu Rentap di Bukit Sadok dapat ditawan oleh Charles Brooke. Rentap berjaya melepaskan diri ke kawasan pedalaman.

3. Penentangan oleh Banting

Pada tahun 1893, orang Iban di bawah pimpinan Banting bangkit menentang pemerintahan kerajaan Brooke di Sarawak. Banting ialah penghulu Iban di hulu Sungai Batang Lupar di kawasan Hulu Air. Banting menentang Charles Brooke yang cuba menghapuskan adat dan upacara yang diamalkan oleh orang Iban.

Pada tahun 1902, Charles Brooke telagh menghantar satu pasukan tentera untuk menawan Banting tetapi beliau dapat mempertahankan dirinya dan memerintah dengan bebas sehingga tahun 1908. Pada tahun itu, tentera Brooke berjaya menewaskan Banting tetapi gagal menangkapnya. Selepas itu, kuasa Banting semakin lemah dan beliau menamatkan penentangannya terhadap Kerajaan Brooke.

Penentangan di Perak

Pengenalan

Kekacauan yang berlaku di Perak membimbangkan British terhadap campur tangan asing. Akibatnya, Gabenor Negeri-negeri Selat, Andrew Clarke telah mengambil langkah campur tangan di Perak. Hasil usaha beliau, satu rundingan telah diadakan sejak 17 Januari 1874 dan hasil rundingan tersebut, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874. Mengikut Perjanjian Pangkor, Sultan Abdullah diiktiraf sebagai Sultan. Baginda bersetuju menerima seorang Residen sebagai penasihat dalam semua hal pentadbiran kecuali adat resam orang Melayu dan hal ehwal agama Islam. Lebih kurang 10 bulan kemudian, J.W.W. Birch telah dihantar sebagai Residen yang pertama pada 1 November 1874. Kehadiran Birch telah menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Akibatnya, Birch telah dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875 selepas berada di Perak hanya selama 12 bulan.
Sebab-sebab berlaku Penentangan di Perak :

1. Kelemahan Perjanjian Pangkor

Ahli-ahli Sejarah seperti Kennedy, Tregonning dan C.D. Cowan menganggap kelemahan Perjanjian Pangkor adalah sebab utama membawa kepada pembunuhan Birch pada tahun 1875. Perjanjian Pangkor tidak menyelesaikan masalah tentang perebutan takhta Perak antara Raja Abdullah, Raja Ismail dan Raja Yusof. Pembesar Perak dan ramai rakyat Perak tidak mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan kerana baginda tidak dilantik mengikut adat resam. Di samping itu, Raja Abdullah tidak mempunyai alat-alat kebesaran yang diperlukan dalam perlantikan Sultan. Ramai pembesar dan rakyat Perak masih menganggap Raja Ismail sebagai Sultan kerana baginda dilantik sebagai Sultan Perak pada tahun 1871 selepas kemangkatan Sultan Ali. Selain itu, Raja Ismail masih lagi menyimpan alat-alat kebesaran diraja yang diterima semasa perlantikannya pada tahun 1871.
Walaupun Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch dilantik sebagai Residen yang pertama pada 1 November 1874, iaitu 10 bulan kemudian. Dalam tempoh tersebut, Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran Perak. Kehadiran Birch dirasai oleh Sultan dan pembesar-pembesar yang British cuba mengambil alih semua kuasa pentadbiran Perak. Perlaksanaan sistem Residen juga mendapat tentangan dari Menteri Larut (Ngah Ibrahim). Beliau tidak lagi bebas mentadbir Larut seperti sebelumnya. Semua urusan pentadbiran terpaksa merujuk kepada Kapten Speedy yang dilantik sebagai Penolong Residen.
Bagi British, perlantikan Raja Abdullah sebagai Sultan dianggap sebagai satu kesilapan kerana Raja Abdullah dikatakan tidak mengetahui hal pentadbiran moden. Raja Abdullah dianggap tidak menerima pembaharuan yang cuba dilaksanakan di Perak. Kelemahan Perjanjian Pangkor juga terbukti kerana perjanjian ini tidak mengiktiraf Sultan Ismail kerana beliau amat berpengaruh ketika itu.

2. Kelemahan Birch

Kelemahan Birch juga merupakan faktor yang penting yang membawa kepada berlakunya Perang Perak pada 1874-1875. British menganggap perlantikan Birch sebagai Residen lebih-lebih lagi sebagai Residen Pertama sebagai satu kesilapan. Birch tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami dan menghormati adat resam orang Melayu. Birch merupakan seorang yang degil dan tidak berganjak dari kemahuannya. Beliau tidak berdiplomasi dan tidak bertolak-ansur. Birch mahu melaksanakan pembaharuan secara tergesa-gesa tanpa memikirkan kepentingan Sultan dan pembesar. Kelemahan peribadi Birch ternyata dari peristiwa Ogos 1875 bila Sultan Abdullah serta pembesar-pembesar mengunjungi tempat kediaman dengan tujuan untuk mendapat ganti rugi akibat penghapusan beberapa keistimewaan. Birch dengan biadap menegaskan ganti rugi akan dibayar sekiranya Sultan dan pembesar berhenti memungut cukai di kawasan masing-masing. Kelemahan peribadi Birch lebih ternyata pada Disember 1874 bila beliau membakar rumah Raja Ngah dan Tengku Panglima Besar kerana mereka terus memungut cukai walaupun ditegah oleh Birch. Kennedy dalam bukunya: History of Malaya menganggap Birch sebagai “an idealist in a hurry” kerana mahu melaksanakan pembaharuan secara terburu-buru tanpa memikirkan itu dianggap radikal oleh Sultan dan para pembesar.

3. Pembaharuan-pembaharuan Birch

Pembaharuan-pembaharuan yang cuba dilaksanakan oleh Birch telah menjejaskan kepentingan Sultan dan pembesar sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial.

a. Politik

Dari segi politik, Sultan dan pembesar kehilangan kuasa kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan Birch. Keadaan ini menunjukkan Residen lebih berkuasa dari Sultan. Sultan Abdullah yang menganggap kehadiran Birch sebagai Penasihat mendapati Birch bukan menasihatinya tetapi mengeluarkan arahan-arahan yang perlu dipatuhi oleh Sultan dan pembesar-pembesar. Sultan Abdullah yang tidak berpuas hati dengan tindakan Birch telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke meminta kuasa Residen dihadkan ataupun ditukar. Jawapan yang diterima amat mengecewakan Sultan Abdullah kerana bukan sahaja suratnya tidak mendapat layanan, malah Andrew Clarke telah arahkan bahawa hubungan antara Sultan dan pembesar dengan Gabenor mesti dibuat melalui Residen. Keadaan ini menunjukkan bahawa Residen lebih berkuasa dari Sultan. Kehadiran Birch menjejaskan kuasa-kuasa pembesar daerah kerana Birch telah melantik pegawai-pegawai British untuk menjalankan pentadbiran daerah. Selain itu, Sultan dan pembesar dilarang menjatuhkan hukuman, lebih-lebih lagi hukuman mati, lebih-lebih lagi kepada orang-orang Melayu. Arahan ini mendapat bantahan Sultan dan pembesar-pembesar kerana ini menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan mereka serta kuasa tradisional. Kerajaan British telah mengarahkan bahawa hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh hakim-hakim yang dilantik oleh British.

b. Ekonomi

Dari segi ekonomi, pembaharuan British juga telah menjejaskan kepentingan Sultan dan pembesar. Sultan dan pembesar dilarang memungut cukai seperti sebelumnya. Arahan ini menjejaskan pendapatan Sultan dan pembesar kerana Birch tidak membayar ganti rugi akibat penghapusan keistimewaan tersebut. Dalam masyarakat tradisional Melayu, cukai adalah penting bagi Sultan dan pembesar-pembesar. Birch telah mengarahkan bahawa kutipan cukai hanya boleh dijalankan oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen. Kemarahan Sultan Abdullah bertambah apabila Birch membatalkan pajakan memungut cukai kastam bernilai $26 ribu setahun yang diberikan oleh Sultan Abdullah kepada seorang saudagar Cina dari Singapura iaitu Lee Cheng Tee. Sebaliknya, Birch telah memberikan pajakan baru ke atas minuman keras dan candu bernilai $6 ribu sebulan kepada Lee Cheng Tee dan rakan-rakannya kerana salah seorang rakannya telah memberi hutang dengan jumlah yang besar kepada Birch. Tindakan Birch bukan sahaja mendapat tentangan Sultan dan pembesar, tetapi juga gabenor dan pedagang-pedagang Negeri-negeri Selat kerana ia bertentangan dengan arahan.

c. Sosial

Dari segi sosial, Birch telah campur tangan dalam adat resam orang Melayu. Apabila beliau cuba menghapuskan perhambaan yang merupakan adat tradisional orang Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, perhambaan merupakan lambing status yang menentukan kekuasaan dn kewibawaan Sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Birch hanya membebaskan hamba-hamba perempuan sahaja. Tindakan beliau melindungi hamba-hamba perempuan di kemudiannya yang terdapat ramai tentera telah mencurigakan Sultan dan para pembesar. Perasaan curiga mereka bertambah apabila Birch menyeludup 2 orang hamba perempuan berketurunan Melayu, berpakaian Cina ke Pulau Pangkor. Hubungan Sultan Abdullah dan Birch bertambah runcing apabila Birch enggan memulangkan 2 orang hamba perempuan Sultan Abdullah yang malarikan diri ke kediaman Birch pada Oktober 1875. Kemarahan Sultan terhadap tindakan Birch bukan sahaja
kerana mereka menjadi tuan kepada hamba tetapi kerana tindakan Birch bertentangan dengan syarat Perjanjian Pangkor yang berkaiatan dengan adat resam orang Melayu.

4. Tindakan Sir William Jervais

Tindakan Sir William Jervais yang menggantikan Andrew Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat pada Mei 1875 juga membawa kepada berlakunya Perang Perak 1875. Selepas melawat Perak, William Jervois tidak puas hati terhadap pentadbiran Birch secara tidak langsung di Perak. Beliau mahukan pentadbiran British dijalankan secara langsung di Perak di mana pentadbiran dijalankan oleh pegawai-pegawai British. Beliau mahukan Sultan dan pembesar dibayar wang persaraan supaya menyerahkan kekuasaan kepada British. Pada 2 Oktober 1875, Sultan Abdullah telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian menyerahkan pentadbiran kepada British. Beliau telah mengugut sekiranya beliau enggan menandatangani perjanjian tersebut, Sultan Abdullah akan disingkirkan dan Raja Yusof akan dilantik sebagai Sultan. Akibatnya, Sultan Abdullah terpaksa menandatangani persetujuan tersebut.

5. Peristiwa Pembunuhan J.WW. Birch

Kemarahan Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar sampai kemuncaknya menjelang akhir tahun 1875 dan keputusan diambil untuk membunuh Birch. Pada 20 Julai 1875, satu perjumpaan telah diadakan di Durian Sebatang yang dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakilnya kecuali Raja Yusof. Dalam pertemuan itu, Dato’ Maharaja Lela dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas tersebut. Raja Ismail menyatakan persetujuannya untuk membantu Dato’ Maharaja Lela. Sebagai persiapan, Raja Abdullah dan Raja Ismail telah menyediakan alat-alat senjata yang dibeli dari Pulau Pinang.

Selepas beberapa hari dari peristiwa perjumpaan di Durian Sebatang, hubungan Sultan Abdullah dengan British menjadi genting. Pada 24 Julai 1875, pihak British mengugut Raja Abdullah jika baginda tidak mengikut arahan mereka. Pada 2 Oktober 1875, Sultan Abdullah dipaksa untuk menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British. Birch ditugaskan untuk mengumumkan perubahan sistem pentadbiran tersebut. Beberapa hari selepas persetujuan itu, Sultan Abdullah memerintah Dato’ Maharaja Lela membunuh Birch.

Sungguhpun telah diketahui adanya komplot membunuh Birch, namun rancangan tetap dilaksanakan. Swettenham ditugaskan untuk membantu Birch dan beliau bertolak dari Singapura pada 23 Oktober 1875. Swettenham ditugaskan di bahagian Hulu Perak sementara Birch di Hilir Perak. Mereka bertolak dari Bandar Bahru dan akan bertemu di Pasir Salak pada 30 November 1875.
Pada 27 Oktober 1875, Birch telah menampal pengisytiharaan itu di rumah dan kemudian belayar ke Pasir Salak. Pada 1 November 1875, Birch bersama keraninya Mat Arshad telah tiba di Pasir Salak. Ketibaan beliau mendapat tentangan hebat daripada Dato’ Maharaja Lela. Pada 2 November 1875, Birch ditikam oleh orang suruhan Dato’ Maharaja Lela, iaitu Pandak Induk dan Seputum ketika Birch mandi di Sungai Pasir Salak.

4 November 1875, Swenttenham di Blanja menerima peristiwa pembunuhan. Dengan pertolongan beberapa orang Melayu, beliau berjaya menyelamatkan diri.
Perang Perak 1875-1876
Pembunuhan Birch telah mengemparkan pihak British.

15 November 1875, tentera British dari Pulau Pinang menyerang Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela mengundurkan diri ke Blanja. Kemudian, tentera tambahan British dari Hong Kong di bawah perintah Major Jeneral Calalborne menawan Pasir Salak. Dari India, tentera di bawah Brig. Jeneral J. Rose menawan Kuala Kangsar.

Sebelum tentera British menawan Blanja, Dato’ Maharaja Lela dan Raja Ismail berundur ke Kinta. Dari Kinta mereka bergerak menuju Kota Lama. British menawarkan hadiah kepada sesiapa yang menangkap orang yang dikehendaki iaitu $6 ribu untuk Maharaja Lela dan $3 ribu untuk Dato’ Sagor dan Pandak Induk.

Pada pertengahan Januari 1876, Raja Ismail meminta bantuan dari Kedah. Pada akhir bulan Mac, baginda menyerah diri dan dihantar ke Singapura kemudian Johor. Dalam bulan yang sama, Dato’ Sagor ditawan di Bandar Bahru sementara pada Julai 1876, Dato’ Maharaja Lela menyerah diri. Dengan ini semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap.
Dengan itu, suatu perbicaraan diadakan dan keputusannya ialah:

a. Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Pandak Induk dan Seputum dihukum gantung sampai mati di Matang pada 20 Januari 1877.
b. Cik Gondoh, Ngah Ahmad Ngah Jabbar, Panjang Nur dan Cik Ali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
c. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Dato’ Laksamana dan Dato’ Syahbandar dibuang ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi.
d. Raja Ismail dipindah ke Johor.
e. Raja Yusof dilantik sebagai Sultan.

Perang Perak ini akhirnya berkesudahan dengan kemenangan British. Kemenangan ini membolehkan British meneruskan sistem Residen dan memajukan ekonomi Perak tanpa halangan.

Penentangan di Pahang

Pengenalan

J.P. Rodger memegang jawatan Residen British di Pahang pada bulan Oktober 1888. Seperti di Perak, pengenalan sistem Residen di Pahang ditentang oleh pembesar-pembesar Melayu yang kehilangan kuasa dan keistimewaan mereka. Penentangan sistem Residen oleh orang Melayu di Pahang berkesudahan dengan satu pemberontakan yang meletus pada tahun 1891 di bawah pimpinan Dato’ Bahaman dari Semantan, Tok Gajah dan anaknya Mat kilau.
Sebab-sebab berlaku penentangan di Pahang

1. Perasaan tidak puas hati Sultan

Hubungan Sultan Ahmad dengan British sememangnya tidak memuaskan sejak lama lagi. Hal ini disebabkan Sultan Ahmad masih menyimpan perasaan benci terhadap British kerana memberi bantuan ketika menentang saudaranya Wan Mutahir dalam Perang Saudara di Pahang. Oleh sebab itu, Wan Ahmad enggan menerima Residen British, tetapi dengan adanya tekanan dari British, Wan Ahmad terpaksa mengalah dan menerima Residen pada bulan Oktober 1888 iaitu J.P. Rodger.
Sultan Ahmad berasa kecewa apabila baginda sedar bahawa kekuasaannya semakin berkurangan. Kedudukan baginda dalam Majlis Mesyuarat Negeri tidak berfungsi kerana keputusan adalah diputuskan oleh Residen. Kekuasaannya semakin tercabar apabila pihak British menunjukkan sikap lebih mempercayai putera baginda iaitu Tengku Mahmud. Akibatnya, Sultan Ahmad mengambil keputusan meninggalkan Pekan dalam bulan Disember 1889 dan berangkat ke Pulau Tawar. Tengku Mahmud telah dilantik sebagai wakil Raja.

2. Perasaan tidak puas hati pembesar-pembesar

Langkah-langkah yang diambil oleh J.P. Rodger untuk memperkenalkan peraturan-peraturan baru telah membangkitkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar Pahang. Para pembesar telah kehilangan hak mereka untuk mengutip cukai, menyimpan hamba abdi, pentadbir keadilan dan sebagainya. Daerah-daerah diwujudkan dan diletak di bawah pengawal British yang dipanggil pemungut cukai dan majistret, misalnya Daerah Pekan oleh F. Belfield, Kuantan oleh A.H. Wall. Residen pula mengambilalih peranan pembesar sebagai penasihat Sultan. Mereka juga tidak mempunyai kuasa dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Walaupun para pembesar dibayar elaun sebagai ganti rugi tetapi jumlahnya adalah kecil, misalnya, Orang Besar Berempat menerima $100 sebulan, Orang Kaya Semantan $70 sebulan dan orang Kaya Berlapan $20 sebulan. Keadaan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar. Pada tahun 1891, mereka bangkit menentang pentadbiran British.

3. Perasaan tidak puas hati Dato’ Bahaman

Dato’ Bahaman menentang pihak British kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan tidak diberi elaun yang setanding dengan elaun Orang Besar Berempat, iaitu sebanyak $100 sebulan. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70 sebulan sahaja. Dato’ Bahaman juga berasa marah apabila British membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan, aiitu daerah di bawah jagaanya tanpa kebenaran daripada beliau. Beliau telah menulis sepucuk surat bantahan kepada majistret di Temerloh, iaitu E.A. Wise tetapi beliau gagal mendapat keadilan daripada majistret Temerloh. Sebaliknya, Dato’ Bahaman diberi amaran kerana tindakannya itu.

4. Perasaan tidak puas hati Tok Gajah

Tok Gajah ialah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863), beliau dianugerahi gelaran Orang Besar Raja. Tok Gajah pula berperasaan anti-Inggeris apabila rayuannya untuk pertambahan elaun ditolak oleh pihak British pada Januari 1890. permintaan Tok Gajah untuk menangguhkan pembayaran cukai tanah ke atas orang Melayu juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Disember 1890. Beliau disokong oleh anaknya dalam penentangannya terhadap British.

5. Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang

Pengenalan beberapa perubahan oleh British seperti sistem lesen dan permit telah mengakibatkan ketidakpuasan hati rakyat Pahang. Sebagai contoh, mereka terpaksa memperolehi lesen atau permit bagi mendapatkan hasil hutan seperti kayu dan daun rembia. Rakyat juga tidak dibenarkan memakai keris yang selama ini merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional mereka. Mulai 1 Januari 1891, British mengenakan cukai ke atas tanah yang diperolehi (kecuali tanah warisan). Kadar cukai adalah tertakluk kepada kategori tanah. Rakyat juga membantah terhadap sistem kerah yang dilaksanakan oleh British bagi projek-projek awam.

6. Perasaan benci orang asing

Mengikut Jang Aisjah, perasaan benci orang asing (Xenophobia) juga bertanggungjawab bagi peletusan pemberontakan Pahang. Rakyat Pahang tidak puas hati dengan kehadiran orang asing, terutamanya pasukan polis yang terdiri daripada orang Sikh. Di Pahang, terdapat juga ramai orang Eropah dan Cina yang terlibat dalam perusahaan perlombongan. Sikap kesombongan serta kejahilan mereka terhadap adat resam tempatan telah menyinggung perasaan orang Melayu. Perasaan anti-orang asing jelas kelihatan apabila Dato’ Bahaman dan Mat Kilau Seringkali menyerang pedagang-pedagang Cina di Pahang.

Proses pemberontakan

Peristiwa yang membawa kepada meletusnya pemberontakan ialah tindakan tidak wajar British di Lubuk Trua. Ketika melakukan penyiasatan di tempat itu, Pemangku Pemungut Hasil dari Semantan telah menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman kerana dituduh mengambil hasil-hasil hutan tanpa kebenaran. Ketiga-tiga orang yang tertuduh telah dibicarakan di Lubuk Trua. Tindakan ini merupakan satu penyelewengan kerana kebiasaannya perbicaraan dijalankan di Ibu Pejabat Daerah di Temerloh. Hal ini juga menunjukkan pihak British merasa mereka lebih berkuasa.
Dato’ Bahaman bertindak untuk membebaskan orang-orang tawanan itu dengan menyerang hendap ke atas pasukan kerajaan dan kemudian menyerang balai polis Lubuk Trua. Pada 21 Disember 1891, Temerloh pula diserang dan ditawan. Pihak British telah bertindak balas beberapa hari selepas peristiwa itu berlaku. Satu pasukan yang dipimpin oleh Hugh Clifford telah mara ke Semantan tetapi terpaksa berundur ke Temerloh kerana banjir.

Pihak British mendesak Sultan Ahmad supaya memberi kerjasama kepada pemerintah dalam menhadapi ancaman Dato’ Bahaman. Oleh sebab adanya desakan dan secara kebetulan hubungannya dengan Dato’ Bahaman tidak begitu baik, Sultan Ahmad telah bersetuju. Sultan Ahmad dan puteranya keduanya iaitu Tengku Ali telah menyerang Semantan pada 14 Januari 1892 tetapi Dato’ Bahaman telah mengundurkan diri terlebih dahulu. Sultan Ahmad telah mengumumkan pengampunan dan meminta golongan penentang pulang ke rumah masing-masing.

Tengku Ali telah diarahkan mengawal tempat itu tetapi tidak berupaya untuk menyekat kemaraan Dato’ Bahaman kerana orang-orang Melayu menyokongnya. Dato’ Bahaman telah menawan semula Lubuk Trua pada awal bulan Mac 1892. Peristiwa itu menyebabkan Clifford dan wakil Raja menyerang Semantan dan sekali lagi Dato’ Bahaman telah berundur. Bolo dan Cempaka dimusnahkan. Clifford telah cuba meneruskan tindakan ke atas golongan penentang tetapi Sultan Ahmad mencegahnya memandangkan bermulanya bulan puasa iaitu pada akhir bulan Mac 1892.
Keberanian Dato’ Bahaman telah memberi semangat kepada pembesar-pembesar Melayu yang lain untuk turut menentang British. Atas usaha Tok Gajah, pertemuan telah diadakan dan dalam pertemuan itu, semua pembesar telah bersumpah menyatakan taat setia kepada Sultan Ahmad. Selanjutnya, atas cadangan Tok Gajah, keputusan telah diambil untuk menentang British secara besar-besaran. Mengikut cadangan Tok Gajah, serangan akan dilaksanakan secara serentak. Dato’ Bahaman akan mengambil Semantan, Sultan Ahmad dikehendaki mempertahankan Chenor, Panglima Muda dari Jempul menawan Pekan, Mat Kilau dan Tok Raja akan menawan Kuala Lipis dan Raub sementara Tok Gajah sendiri akan ke Tembeling.

Rancangan tersebut dimulakan dengan serangan oleh Panglima Muda pada 5 April 1892. Dua orang bangsa British daripada Syarikat Penyelidikan Pahang telah dibunuh dan kemudian pasukan Panglima Muda mara ke Pekan. Orang-orang Melayu telah memberi sokongan kepadanya dan ini menyulitkan pihak British. Gerakan penentang British ternyata telah terjejas kerana di medan perjuangan yang lain, keadaan telah berubah. Wan Ahmad yang berada di Pulau Tawar telah mengubah fikiran dan memujuk Tok Raja yang datang mengadapnya supaya tidak menyertai penentangan itu. Tok Gajah juga telah menyertai Sultan Ahmad dan yang menyedihkan, kedua-duanya bertindak ke atas Dato’ Bahaman kemudiannya.

Dato’ Bahaman telah berjaya menawan Semantan. Sekali lagi pihak British meminta Wan Ahmad menyertai pemerintah untuk menentang Dato’ Bahaman. Pasukan Sultan Ahmad dan Tok Gajah telah berjaya mengusir Dato’ Bahaman. Pasukan Sultan Ahmad dan Tok Gajah telah berjaya mengusir Dato’ Bahaman pada 8 Mei 1892. Sementara itu, pasukan Clifford dan Leftenan Kolonel Walker, terus bertindak menyerang Budu pada 21 Mei 1892 tetapi Mat Kilau berjaya melepaskan diri lalu bersatu dengan Dato’ Bahaman yang berada di Cheka.

Dalam bulan Jun 1892, British menyerang Jempul dan menawannya. Keadaan ini menyebabkan Sultan Ahmad menasihatkan Tok Gajah supaya melarikan diri kerana bimbang British akan mengambil tindakan ke atasnya. Oleh itu, dalam bulan Ogos 1892, Tok Gajah melarikan diri untuk menyertai Mat Kilau dan Dato’ Bahaman yang berada di Tembeling. Oleh sebab tekanan-tekanan seterusnya, mereka terpaksa berundur ke Sempadan Kelantan dalam bulan September 1892. Malangnya, Panglima telah terbunuh dalam bulan Oktober 1892.

Melalui Tok Raja yang bertugas sebagai orang perantaraan, usaha telah diambil untuk menghentikan penentangan. Perundingan telah dimulakan dalam bulan Disember 1893 tetapi Mat Kilau dan Mat Lela, putera Dato’ Bahaman, enggan mengambil bahagian. Perundingan yang berjalan sehingga bulan April 1894 tidak memberi sebarang hasil.

Selepas perundingan mengalami kegagalan, perjuangan orang-orang Melayu semakin bersemangat. Hal ini disebabkan peranan yang dimainkan oleh Engku Syed dari Paloh. Ketika ini Dato’ Bahaman telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikutnya dari Besut dan Ulu Lebir. Pada 12 Jun 1894, penentangan meletus kembali apabila golongan penentang menyerang Kuala Tembeling. Seorang anggota polis iaitu Ram Singh yang mendapat luka parah akibat ditikam telah dapat melepaskan diri menaiki sampan ke Pulau Tawar. Golongan penentang telah cuba mendapatkan bantuan dari Tok
Raja dari Pulau Tawar tetapi gagal. Hal ini menyebabkan penentang telah cuba membina kubu pertahanan di Jeram Ampai. Satu angkatan tentera British yang besar telah menyerang Jeram Ampai dan menawannya pada 29 Jun 1894. Akhirnya golongan penentang telah berundur ke Kelantan dan Terengganu.

Pihak British telah meminta Kerajaan Siam supaya campur tangan. Akhirnya, dalam bulan November 1895, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau serta 4 orang pengikutnya telah menyerah diri kepada pihak Siam dan kemudian dihantar ke Siam. Sementara Tok Gajah dan Mat Kilau terus menetap di Terengganu dan dikatakan meninggal dunia di sana.

Penentangan di Kelantan

Pengenalan

Melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909, kuasa Kelantan telah dipindahkan oleh Siam kepada Kerajaan British. James Scott Mason dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Kelantan pada Julai 1909. Pada tahun 1910, British secara rasmi menguasai hubungan luar negeri Kelantan melalui Perjanjain Inggeris-Kelantan. Perjanjian ini juga menegakkan hak British untuk melantik seorang Penasihat kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV. Baginda mesti mematuhi nasihat Penasihat British dalam semua perkara kecuali yang berkaitan dengan agama dan adat resam orang Melayu. Perubahan sosio ekonomi yang dibawa oleh British telah mengakibatkan pemberontakan di daerah Pasir Putih pada 29 April 1915.

British di Kelantan sebelum 1909

Kebangkitan menentang bermula sejak termeterainya Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902. Menurutnya, seorang Penasihat berbangsa Inggeris bernama William Amstrong Graham dilantik sebagai Penasihat dan Pesuruhjaya Siam di Kelantan pada Julai 1903.
Pada tahun 1904, W.A. Graham telah memperkenalkan beberapa perkara baru dalam pentadbiran Kelantan. Pengenalan peraturan-peraturan baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Kelantan. Antaranya ialah:

a. Penubuhan beberapa jajahan baru seperti Kota Bahru, Hulu Kelantan dan Pasir Putih. Tiap-tiap jajahan ini ditadbir oleh seorang Ketua Jajahan. Sebuah balai polis juga didirikan di setiap jajahan. Sebagai contohnya, Encik Ibrahim menjadi Ketua Jajahan dan Sarjan Che Wan menjadi Ketua Balai Polis di jajahan Pasir Putih. Ketua Jajahan dibantu oleh 2 orang yang bergelar Tok Kweng atau Penggawa dan Tok Nebeng atau Penghulu. Tok Nebeng bertugas menjaga keamanan dan memungut hasil dalam kampung masing-masing.

b. Pada tahun 1905, Undang-undang Hasil Padi diluluskan. Menurutnya, semua pemilik tanah perlu memberi maklumat yang tepat tentang kawasan tanah, hasil dan kedudukan tanah kepada Tok Kweng.
Perubahan-perubahan ini menjejaskan hak kuasa pembesar ke atas daerah masing-masing. Malah, kuasa Engku Besar Jeram dan Pasir Putih semakin berkurangan.

Kebangkitan menentang British di Kelantan semakin hebat selepas tahun 1909. Pada tahun 1909, Kelantan dipindahkan daripada pemerintahan Siam kepada Inggeris menurut Perjanjian Inggeris-Siam (Bangkok) 1909. Ekoran ini, British melantik seorang penasihat di Kelantan untuk menasihati Sultan Muhammad IV dalam semua perkara, kecuali adat-istiadat dan agama Islam.
Penglibatan British dalam pentadbiran Kelantan menimbulkan rasa tidak puas hati. Mulai tahun 1910, perubahan yang agak radikal telah diperkenalkan oleh Penasihat British kepada sistem pentadbiran Kelantan. Malah pihak British menggunakan pegawai-pegawai Melayu dari luar negeri Kelantan untuk melaksanakan peraturan-peraturan tersebut.

Tindakan ini telah mencetuskan kebangkitan di daerah Pasir Putih, Kelantan pada tahun 1915 semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV. Kebangkitan ini dipimpin oleh Haji Mat Hassan bin Munas, lebih dikenali sebagai Tok Janggut. Pembesar-pembesar lain yang menyertai pemberontakan ini ialah Engku Besar Tun Ahmad Jeram, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak Merbol.
Sebab-sebab penentangan di Kelantan

1. Ketidakpuas hati Engku Besar Jeram

Engku Besar Tun Ahmad dan penduduk kawasan Jeram tidak puas hati dengan campur tangan British di jajahan Pasir Putih. Engku Besar adalah pembesar di daerah Jeram. British campur tangan dalam pentadbiran Jeram dengan menasihati Sultan Muhammad IV supaya membina sebuah pondok polis di Pasir Putih. Kerajaan British juga campur tangan dengan melantik seorang Pegawai Daerah untuk mentadbir jajahan Pasir Putih yang dahulunya diletakkan di bawah Engku Besar Jeram. Perlantikan pegawai daerah ini menyebabkan Engku Besar Jeram kehilangan hak yang diwarisi turun-temurun sejak abad ke-18. Engku Besar Jeram seterusnya kehilangan kuasa, wibawa dan keistimewaan. Engku Besar Tun Ahmad hanya berkuasa sebagai Tok Kweng Muda, iaitu kedudukannya lebih rendah daripada Tok Kweng (penggawa). Sebelum perubahan ini, Tok Kweng adalah di bawah kuasa Engku Besar Jeram. Engku Besar juga telah kehilangan hak memungut cukai’ sebaliknya, beliau terpaksa membayar cukai ke atas tanah yang menjadi hak miliknya seperti rakyat biasa. Engku Besar Jeram yang tidak puas hati dengan sistem pentadbiran British lalu menghasut pengikutnya Tok Janggut atau Haji Mat Hassan supaya bangun menentang dan mengusir British dari Pasir Putih. Tok Janggut dikatakan lebih lama menyimpan dendam dalam hati kerana ayahnya, iaitu Panglima Munas dan abangnya Mat Tahir sebelum itu telah dibunuh atas perintah Sultan.

2. Pengenalan sistem cukai baru

Pentadbiran British telah memperkenalkan sistem pentadbiran dan peraturan baru yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan. Sebelum pengenalan peraturan baru, cukai atau hasil di Pasir Putih berdasarkan kepada jumlah hasil tahunan. Sekiranya jumlah hasil adalah sangat sedikit, dikecualikan daripada cukai. Tanah yang tidak dikerjakan atau diusahakan tidak dikenakan cukai, misalnya pokok pinang kurang daripada 10 batang dikecualikan daripada cukai.

Peraturan baru yang diperkenalkan oleh pentadbiran British tidak ada pengecualian. Pokok buah-buahan dikenakan cukai 12 ½ sen setahun, sirih dikenakan 5 sen sejunjung, lembu dan kerbau dikenakan 20 sen seekor, pokok-pokok kayu seperti temberu, mendung dan kapur yang hendak ditebang dikenakan cukai $1 sebatang, tanah pula 60 sen seekar.

Menurut undang-undang baru itu, cukai dikenakan ke atas tanah dan bukannya ke atas hasil tanah seperti dahulu. Sebelum itu, peraturan tanah padi tahun 1905 amat longgar, iaitu hanya mewajibkan satu penjuru bersamaan 400 depa tanah padi dikenakan cukai 30 sen setahun. Kurang daripada 200 depa dikecualikan cukai. Selain itu, penduduk Pasir Putih dikehendaki melaporkan keluasan dan tempat tanah yang mereka miliki kepada Tok Kweng. Dengan demikian, rakyat telah dibebankan dengan bermacam-macam jenis cukai yang diperkenalkan melalui sistem pentadbiran baru. Cukai tanah yang diperkenalkan oleh pihak British merupakan suatu yang baru bagi penduduk Kelantan. Cukai tanah yang dikuatkuasakan oleh pihak British adalah tetap. Cukai harus dibayar walaupun tanah tidak dikerjakan. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka akan didenda.

Penduduk menghadapi kerumitan dalam pembayaran cukai kerana pejabat bayaran cukai hanya diwujudkan di daerah tertentu dan pejabat itu terletak agak jauh. Bayaran hanya boleh dibuat dalam waktu tertentu. Rakyat menghadapi masalah untuk membayar dalam masa yang ditentukan. Pegawai-pegawai yang bertugas tidak cekap. Rakyat terpaksa datang ke pejabat beberapa kali untuk membayar cukai, misalnya, Tok Janggut telah datang beberapa kali untuk membayar cukai tetapi gagal membayar dalam masa yang ditetapkan. Pegawai yang bertugas kadang-kala bersikap kasar kepada penduduk.
Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kerana mereka berasakan perlaksanaan undang-undang baru membebankan mereka berbanding dengan peraturan sebelum ini. Engku Besar kemudiannya mengarahkan Tok Janggut menjalankan kempen agar penduduk Jeram dan seluruh jajahan Pasir Putih jangan membayar cukai. Dalam kempen ini, Tok Janggut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak Merbol.

3. Sikap pegawai British Daerah Jajahan Pasir Putih

Pada tahun 1912, British menggantikan Encik Salleh, seorang Melayu tempatan dengan Encik Latiff yang berasal dari Singapura sebagai Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih. Beliau telah melaksanakan pelbagai cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai kepala, cukai buah kelapa dan cukai pokok buah-buahan. Encik Latiff merupakan seorang pegawai yang jujur dalam tugasnya. Beliau telah bertindak dengan tegas untuk melaksanakan undang-undang cukai yang baru diperkenalkan oleh British. Pegawai Daerah dan kakitangannya bersikap kasar terhadap penduduk di Pasir Putih. Mereka yang enggan atau lewat membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Ada kalanya, rakyat yang lewat membayar cukai dimaki dan dicaci oleh pegawai-pegawai. Perbuatan yang kurang ajar ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai. Perasaan tidak puas hati semakin bertambah apabila Encik Latiff telah menawarkan kontrak bagi mengutip telur penyu dan kercut. Langkah ini mendapat tentangan hebat daripada orang ramai yang sebelumnya boleh mendapatnya secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran.

4. Pengaruh luar

Pengaruh luar seperti Perang Dunia Pertama dan Dahagi di Singapura pada tahun 1915 juga mempengaruhi penduduk Kelantan melancarkan kebangkitan terhadap pentadbiran British. Orang Kelantan percaya British akan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia I. Begitu juga apabila Dahagi meletus di Singapura pada tahun 1915. Penduduk Kelantan mendapat berita bahawa tentera India berjaya membunuh orang Eropah secara beramai-ramai. Kesannya, kejayaan Dahagi ini menyebabkan orang Kelantan tidak lagi menghormati orang Eropah sebagaimana sebelumnya.

Proses penentangan

Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad dan sokongan oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas, Tok Laboh dan Tok Deraman telah menjalankan kempen mempengaruhi penduduk Pasir Putih menentang peraturan baru dan British.
Pada 28 April 1915, Encik Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat berita Tok Janggut dan pengikutnya di Kampung Jeram. Pada 29 April 1915, beliau menghantar Sarjan Che Wan dan beberapa orang anggota polis untuk menangkap Tok Janggut atas tuduhan tidak membayar cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok Janggut dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri dan membuat laporan kepada Encik Latiff.

Encik Latiff cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk menangkap Tok Janggut. Apabila pasukan polis ini tiba di Kampung Kelubi, mereka diberitahu bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak menyerang Pasir Putih. Dengan itu, Encik Latiff bersama kakitangannya berundur ke Kota Bahru dengan bot melalui Kuala Semerak.

Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol melancarkan serangan 3 penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira 4 petang pada 29 April 1915 dan mendudukinya selama 3 hari. Mereka membakar pejabat kerajaan, menawan balai polis dan membebaskan orang tahanan. Mereka kemudian menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Putih. Engku Besar dilantik sebagai Raja Jeram dan Tok Janggut menjadi Perdana Menteri kerajaan sementara.

Penasihat Inggeris, W. Longham-Carter menerima berita serangan ke atas Pasir Putih pada 30 April 1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan pertahanan Kota Bahru. Penasihat British meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei 1915, bantuan dari Singapura tiba di Tumpat dengan kapal H.M.S. Cadmus yang terdiri daripada 239 orang di bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow.

Pada 9 Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap pemimpin yang terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan juga ke Besut. Hadiah $500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut atau Engku Besar. Penghulu Adam telah menyerah diri. Rumah Tok Janggut, Che Ishak Merbol dan Haji Said dibakar.

Pada 23 Mei 1915, Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir Putih. Hal ini memaksa Major Borton bersama 50 orang anggota polis Sikh dan 7 orang Eropah datang ke Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan pengikutnya.

Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Pupuh akhirnya bertempur dengan pasukan British. Dalam pertempuran ini, beberapa orang terbunuh, termasuklah Tok Janggut. Engku Besar Jeram Tun Ahmad yang cedera diselamatkan oleh Awang Deraman ke Reman, Thai. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bahru. Setelah diarak, mayat beliau digantungkan dengan kepala ke bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bahru selama satu jam sebelum dimakamkan di Pasir Putih.

Kebangkitan di Pasir Putih di bawah pimpinan Tok Janggut berjaya buat sementara mengundurkan kakitangan kerajaan yang bertugas di Kota Bahru. Namun, kebangkitan ini telah gagal untuk mempertahankan kejayaannya. Pasukan British bertindak bebas dengan cepat dan berjaya mematahkan kebangkitan dan Tok Janggut sendiri terkorban dalam pertempuran.

Penentangan di Terengganu

Pengenalan

Usaha British meluaskan kuasanya di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit menentang British antara tahun 1922-1928. Kebangkitan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Punca kebangkitan rakyat Terengganu adalah pelaksanaan sistem pentadbiran dan undang-undang bercorak Barat dan cukai-cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai tanah dan pas kerajaan untuk membuka tanah dan mengambil hasil hutan. Pemimpin ulama penentangan ini ialah seorang ulama yang bernama Haji Abdul Rahman Limbong. Penentangan ini bertumpu di Hulu Telemong, Kuala Telemong, Kuala Berang, Alor Limbat dan Tersat.
Kebangkitan tahun 1922 dan 1925

Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong. Penentangan ini bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan British. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.

Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang undang-undang British berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang telah membersihkan tanah kawasan Kuala Telemong untuk bercucuk tanam. Tanah itu adalah kepunyaan Tengku Haji Nik (200 ekar) dan tanah kerajaan yang terbiar (400 ekar). Mereka membersihkan tanah itu tanpa meminta pas kebenaran daripada kerajaan kerana Tengku Haji Nik sendiri yang meminta mereka mengerjakan tanah itu. Kebangkitan ini mendapat sokongan yang kuat daripada ramai rakyat Terengganu. Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.
Kebangkitan tahun 1928

Peristiwa-peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong pada tahun 1922 dan 1925 telah menambahkan kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang.

Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam (Telemong), Tersat dan Dungun telah membuka tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pas kebenaran dari pihak British. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Menurut buku “Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu”, karangan Timah Hamzah, kira-kira 1000 orang penduduk berkumpul di Tersat, Hulu Telemong pada 21 Mei 1928 dengan tujuan untuk memulakan peperangan terhadap orang kafir.

Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menduduki pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai British di Kuala Berang terpaksa berundur ke Kuala Terengganu. Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada masa itu, Kerajaan British telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Dato’ Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis itu telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Dato’ Seri Lela Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan tidak menghiraukan amaran tersebut. Akibatnya, pasukan polis telah melepaskan tembakan.

Dengan bantuan polis tambahan dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British dapat memadamkan kebangkitan rakyat Terengganu. Semua pemimpin yang terlibat ditangkap dan dipenjarakan iaitu Haji Zakaria 7 tahun; Abu Bakar Chinting 10 tahun; Abdullah Jurukka 10 tahun; Mat Tok Pitas 5 tahun dan Lebai Hassan 5 tahun. Penghulu Salleh Pasir Nyior pula telah dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong juga didapati bersalah tetapi beliau tidak dihukum penjara. Beliau dibuang negeri ke Makkah.

Sebab Haji Abdul Rahman Limbong tidak dipenjarakan ialah beliau dianggap sebagai pemimpin yang sangat berpengaruh dan kehadirannya akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan terhadap British. Selain itu, British juga tidak mahu menimbulkan lagi kemarahan penyokong-penyokong beliau sekiranya beliau dihukum penjara. Beliau dihantar ke Makkah juga disebabkan beliau berhasrat pergi ke tanah suci untuk mendalami dan mengajar agama Islam. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia di Makkah pada 16 November 1929.

Sekian, terima kasih!...

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan FACEBOOK Masakini (Contoh Esei)

PENDAHULUAN Peranan media massa dan komunikasi dalam membangunkan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Ia boleh dilihat sejak era sebelum kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa dan komunikasi membangkitkan semangat menentang penjajah. Bermula dari era tersebut media massa dan komunikasi memainkan peranannya yang terbaik dalam membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur. Dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan Wawasan 2020. Media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wuj

Contoh Kerja Kursus Pengajian Am Tingkatan 6 Penggal 2 2015 (STPM) (Majlis Perkahwinan Masyarakat India)

1. ABSTRAK Adat Resam Dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat Kaum India Di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.       Kajian ini dijalankan dibawah tajuk, “Adat Resam dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat India” di Taman Kelubi Damai. Kajian ini mengemukakan dua objektif. Objektif pertama kajian ialah untuk mengenalpasti jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India. Objektif yang kedua pula, mengenalpasti kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai. Kawasan kajian ini terletak kira-kira 4 km dari Bandar Jasin dan 28 km dari Bandaraya Melaka. Kajian yang digunakan ialah kajian tinjauan. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ialah soal selidik dan pemerhatian. Sampel kajian ialah seramai 25 orang responden yang tinggal di Taman Kelubi Damai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penduduk di taman tersebut masih mengamalkan adat resam dalam majlis perkahwinan India. Kajian ini merumuskan bahawa adat resam per

Kerja Kursus Semantik & Pragmatik (Analisa Aspek-aspek Semantik Deiksis dan Kolokasi dalam Cerpen)

Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL) TIX2002 : Semantik & Pragmatik Semantics & Pragmatics Sesi 2017 / 2018 Semester 4 Tajuk Kerja Kursus Analisa Aspek-aspek Semantik Deiksis dan Kolokasi dalam Cerpen ‘Arnab yang Pemalas’. Nama Ahli Kumpulan Aisyah Binti Mahathir (TIG1600XX) Nur Asilah Binti Adenan (TIG1600XX) Siti Fatimah Binti Masran (TIG1600XX) Thanushah A/P P Soniyasee (TIG1600XX) Nombor Kumpulan Kelas Kumpulan 4 Nama Pensyarah Puan Siti Nurbaya Binti Mohd Nor Tarikh Dihantar 4 /   4 / 2018 Isi Kandungan Bilangan Tajuk Nama Ahli Muka Surat 1. Pengenalan Fatimah 1 2. Objektif Semua Ahli Kumpulan 2 3. Deskripsi Data Thanushah 3 4. Kerangka Teori Aisyah & Asilah 4 - 6 5. Analisa dan Perbincangan 1.       Deiksis 2.       Kolokasi